PENGENALAN

EKOSISTEM KONDUSIF SEKTOR AWAM
(EKSA)


     Tujuan Manual ini disediakan bagi memberi panduan kepada warga Institut Kemahiran Belia Negara Kuala Perlis (IKBN KP) dalam melaksanakan EKSA (Ekosistem Kondusif Sektor Awam) bagi menghasilkan persekitaran kerja yang bersih, kemas dan kondusif. Manual ini adalah sebagai piawaian tindakan kebersihan, kekemasan dan keselamatan  secara minima namun pemakaiannya adalah tertakluk kepada kesesuaian di peringkat zon.

LATAR BELAKANG

      EKSA  telah diamalkan di sektor kerajaan untuk mewujudkan persekitaran tempat kerja  yang selesa, kemas dan selamat. Amalan ini dapat mewujudkan persekitaran kerja yang  berkualiti secara sistematik dan praktikal, dan dengan itu mengurangkan pembaziran dari  segi masa, ruang dan sebagainya, justeru menjimatkan kos operasi.EKSA  yang diamalkan adalah berpandukan konsep 5S yang telah menjadi panduan oleh semua jabatan kerajaan.

      Di Malaysia, konsep Amalan 5S mula diperkenalkan pada pertengahan tahun 1980an dan telah dipraktikkan dalam sektor swasta terutama syarikat-syarikat multi-nasional. Kini banyak agensi-agensi Perkhidmatan Awam mengamalkan Amalan 5S malah ada di kalangannya telah mendapat pengiktirafan menerusi persijilan daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).


MEMAHAMI KONSEP AMALAN EKSA

Amalan 5S



Amalan 5S merupakan alat pengurusan persekitaran berkualiti yang dipelopori oleh Jepun dengan penumpuan kepada lima (5) langkah tindakan pelaksanaan yang bermula dengan huruf awalan ‛S‟ yang bermatlamatkan pengurusan amalan kebersihan yang bersistematik. Seiri, Seiton, Seiso, Seiketsu dan Shitsuke adalah perkataan Jepun yang diringkaskan menjadi 5S. Dalam Bahasa Melayu memberi maksud Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal.


Amalan 5S merupakan teknik yang paling berkesan bagi mewujudkan budaya peningkatan secara berterusan atau dikenali sebagai “Kaizen” dalam Bahasa Jepun. Kaizen adalah cara pembaikan dilakukan secara sedikit demi sedikit tetapi berterusan terutama dalam aktiviti yang berorientasikan manusia dan proses. Bagi menjayakannya, penyertaan dan komitmen yang tinggi diperlukan daripada semua peringkat anggota dalam organisasi.



 Amalan 5S adalah asas peningkatan kualiti dan produktiviti yang berkesan kerana:

            i.        Mewujudkan persekitaran tempat kerja yang berkualiti dan produktif;

           ii.        Hasil kebersihan, kekemasan dan keselamatan yang nyata;

          iii.        Lebih banyak idea kreatif dan inovatif diketengahkan oleh pekerja untuk         
                       penyelesaian  masalah dan penambahbaikan;

           iv.        Semua pekerja akan lebih berdisiplin dan beretika untuk menghasilkan prestasi kerja
                       yang lebih baik;

            v.        Operasi di tempat kerja lebih senang, pantas dan selamat;

           vi.        Membina budaya kerja dan nilai bersama yang cemerlang; dan

          vii.        Menjadi kebanggaan semua pekerja dan meningkatkan imej organisasi.


 Maksud Amalan 5S bagi mewujudkan persekitaran berkualiti dalam sesebuah organisasi
 adalah seperti di Jadual 1.


Jadual 1



Bahasa
Jepun
Bahasa
Inggeris
Bahasa
Melayu
Maksud
Contoh
Seiri
Sort
Sisih
Menyisih barang-barang yang tidak perlu: Mengasingkan dan melupuskan barang-barang yang tidak diperlukan di tempat kerja secara sistematik.
Membuang sampah
Seiton
Set in order
Susun
Kekemasan: Menyusun barang-barang yang diperlukan secara kemas dan sistematik supaya mudah diambil dan dikembalikan di tempat asal selepas digunakan.
Mencapai dokumen dalam tempoh 30 saat.
Seiso
Shine
Sapu
Pembersihan: Membersihkan dan memeriksa tempat kerja secara terperinci supaya tiada debu atau kotoran di atas lantai, peralatan dan persekitaran tempat kerja.
Tanggungjawab harian untuk pembersihan ruang dan peralatan kerja individu.
Seiketsu
Standardise
Seragam
Keseragaman: Mewujudkan piawaian amalan terbaik di tempat kerja dan memastikan piawaian tersebut dipatuhi di samping memastikan tempat kerja itu bersih dan teratur sepanjang masa.
Tempat penyimpanan peralatan dan dokumen yang jelas.
Shitsuke
Sustain
Sentiasa Amal
Disiplin: Melatih pekerja untuk mengamalkan sistem Amalan 5S secara berterusan supaya menjadi tabiat dan budaya kerja organisasi.
Lakukan Amalan